Saturday, October 23, 2010

Depleted Uranium & Sindrom Perang Teluk

 

Radioactive
Oleh : Mohd Faizal Aziz
Peperangan pada masa kini banyak melibatkan pelbagai jenis sistem persenjataan. Antara senjata yang paling banyak digunakan di dalam perang moden ialah senjata pemusnah besar-besaran yang menggunakan kuasa nuklear atau juga dikenali dengan bom atom, senjata kimia dan senjata biologi. Baru-baru ini di Gaza, Palestin kita dikejutkan dengan kehadiran tentera laknat Zionis Israel yang dilaporkan menggunakan senjata kimia yang mengandungi fosforus di dalam peluru berpandu mereka yang akan memberi kesan jangka panjang ke atas penduduk islam Palestin. Sejenis senjata pemusnah besar-besaran yang digunakan sejak Perang Teluk Pertama di Iraq dahulu ialah senjata yang diperbuat daripada sisa nuklear yang dikenali sebagai Depleted Uranium (DU)
Senjata yang dihasilkan daripada depleted uranium menjadi ancaman di dalam perang pada masa kini. Apabila senjata ini meledak, pencemaran zarah-zarah ledakan bersaiz nano ini akan mengisi ruang udara sebelum jatuh ke bumi dan sistem perairan di mana ia akan merebak ke dalam rantaian makanan benda hidup termasuk manusia. Perkara ini amat ditakuti oleh mangsa-mangsa perang dan memberi kesan penderitaan mendalam kepada mangsa termasuk veteran Perang Teluk seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO. Artikel ini cuba membincangkan bahaya depleted uranium dan Sindrom Perang Teluk.
MIDEAST ISRAEL PALESTINIANS
Simptom-simptom Sindrom Perang Teluk (Gulf War Syndrome) sangat aneh dan pelbagai bentuk bermula dari ketidakstabilan sistem keimunan tubuh dan penyakit saraf sehinggalah kepada kecacatan bayi yang baru lahir. Gejala yang timbul sukar dikelompokkan kepada satu kumpulan penyakit untuk ditentukan penyebab utamanya. Menurut istilah perubatan ia dikenali dengan nama Sindrom Perang Teluk sempena mengambil nama penyakit tersebut yang dikesan selepas berlakunya Perang Teluk Pertama di Iraq pada tahun 1990-1991 dahulu.
PALESTINIANS-ISRAEL/
Sisa-sisa radioaktif senjata yang diperbuat daripada depleted uranium yang diperkenalkan pertama kali dalam Perang Teluk Pertama sering dikaitkan dengan peningkatan tanda-tanda penyakit ganjil yang menghantui veteran Perang Teluk. Selain Perang Teluk pertama, ia juga digunakan dengan meluas dalam perang di Rantau Balkan.
Yang dimaksudkan dengan depleted uranium ialah unsur uranium yang mempunyai kekuatan isotop U-235 yang lebih rendah daripada uranium semulajadi. DU merupakan hasil sampingan (by-product) dari proses pengayaan uranium. Proses pengayaan uranium ialah suatu proses utama dalam menghasilkan senjata nuklear. Walaupun tahap keradioaktifan DU ini adalah rendah dan dianggarkan sekitar 40% lebih rendah daripada unsur uranium semulajadi, tetapi sifat toksiknya sangat tinggi. Apabila terjadinya ledakan senjata yang diperbuat daripada DU ini, partikel mikro dan nano akan terawang-awangan di udara seperti debu di mana ia akan disedut ke dalam sistem pernafasan manusia dan haiwan, jatuh ke tumbuh-tumbuhan, sayuran dan air yang juga akan digunakan semula oleh manusia di dalam rantaian makanan.
Dr Antonietta Gatti dari University Modena Itali merupakan ketua penyelidikan di Makmal Biomaterial di universiti tersebut yang telah mengemukakan bukti kukuh kewujudan partikel mikro dan nano yang terhasil dari DU ke atas tisu badan manusia. Beliau menggunakan teknik terkini teknologi Mikroskop Imbasan Elektron (SEM) dalam menganalisis sampel ujikajiannya dalam mengenal pasti partikel DU. Salah satu kaedah eksperimen di makmal mengesan sisa-sisa DU ini ialah dengan menggunakan sampel-sampel runtuhan bangunan di tempat berlakunya ledakan bom dan juga sampel dari anggota badan veteran perang. Sampel-sampel ini kemudiannya dicampurkan dengan tisu paru-paru yang diletakkan dalam satu tempoh tertentu. Selepas beberapa jam campuran sampel tersebut  dianalisa di bawah mikroskop imbasan elektron. Hasil yang mengejutkan didapati terdapat partikel-partikel logam bersaiz mikro dan nano terkumpul di sampel organ paru-paru. Menurut Dr Antonietta, partikel halus tersebut boleh merebak ke organ badan yang lain seperti hati, limfa, buah pinggang dan otak. Selain itu partikel logam daripada DU ini juga akan kekal di dalam sel darah dan merebak ke sel-sel saraf serta memasuki sistem pembiakan manusia.
GulfWarImage
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO, angka pesakit leukimia dan kecacatan sejak lahir meningkat secara drastik di kota-kota yang pernah digugurkan senjata menggunakan depleted uranium ini seperti di Kota Basra, Iraq dan Bosnia-Herzegovina selepas perang. Bukti-bukti ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan dan pengalaman bekas-bekas tentera yang pernah berkhidmat semasa Perang Teluk yang mengalami penyakit kronik yang sukar diubati, hilang daya ingatan dan keletihan melampau. Veteran perang dari Itali yang pernah berkhidmat di Bosnia juga melaporkan perkara yang sama.
Walaupun tidak menggunakan sepenuhnya unsur nuklear di dalam pembuatan senjata yang digunakan di dalam perang pada hari ini, bahaya penggunaan depleted uranium memberi kesan yang sangat berbahaya kepada mangsa perang dan tentera terlibat. Usaha-usaha kini sedang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, WHO dan badan-badan dunia bagi mendesak kuasa-kuasa tentera dunia supaya menghentikan penggunaan bahan depleted uranium selain menentang pembinaan senjata nuklear yang jelas membawa padah kepada generasi manusia dan kehidupan di dunia pada hari ini.

Nenas : Antara Enak dan Kesan Sampingan

 
nenas

Nenas merupakan sejenis buah tropika yang lazat. Ia merupakan sejenis buah yang mempunyai kandungan mineral dan vitamin yang cukup tinggi. Ramai di kalangan kita menggemarinya sebagai makanan pencuci mulut yang menyegarkan disamping kegunaan lain seperti jem nenas, halwa, jeruk, tat nenas atau dimakan mentah begitu sahaja. Bagi penggemari nenas, mungkin mereka pernah mengalami luka-luka kecil di dalam mulut selepas memakan nenas dalam kuantiti yang agak banyak. Bagi ibu-ibu yang mengandung, pantang larang orang melayu tidak membenarkan mereka memakan nenas. Tajam dan berbahaya terhadap kandungan, katanya!. Entah benar atau pun sekadar mitos, tidak pernah pula dibuat kajian mengenainya. [Tambahan penulis]
potong
nenas tin
Walaubagaimanapun, terdapat komponen bahan kimia pada buah nenas yang boleh menyebabkan luka kecil pada tisu mulut sekiranya diambil secara berlebihan. Bahan kimia tersebut dinamakan enzim bromelain. Enzim ini merupakan salah satu dari kumpulan enzim protease yang dapat menghidrolisis (menguraikan) protein. Enzim protease sebenarnya terdapat di dalam hampir semua jenis buah-buahan, namun tahap protease di dalam nenas dicatatkan paling tinggi berbanding buah-buahan yang lain. Oleh yang demikian, sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi si pemakannya dengan cara merungkaikankan ikatan protein pada mulut yang akhirnya menyebabkan luka kecil.
pineapple
Salah satu pemerhatian yang dibuat untuk membuktikan kewujudan enzim ini ialah semasa pembuatan agar-agar buah. Dalam proses pembekuan agar-agar yang menggunakan gelatin, semasa fasa penyejukan sekiranya dimasukkan kiub-kiub nenas segar di dalamnya. Dalam tempoh tertentu, sepatutnya hasil yang diperolehi ialah agar-agar nenas yang kenyal namun sebaliknya yang berlaku. Agar-agar tidak akan mengeras malah tetap cair dan hancur  walaupun dibiarkan dalam tempoh yang lama. Hal ini tidak berlaku sekiranya kita memasukkan buah strawberry, peach, tembikai dan sebagainya. Ia membuktikan kewujudan enzim bromelain di dalam kumpulan protease dengan kadar yang tinggi di dalam buah nenas yang akan menguraikan ikatan protein di dalam gelatin yang digunakan dalam proses pembuatan agar-agar.
pineapples0001
Enzim bromelain yang terdapat pada nenas juga merupakan sejenis sistem perlindungan dirinya. Contohnya, adakah di kalangan kita pernah melihat serangan ulat dan serangga pada buah nenas. Tentu tidak bukan? Namun ulat dan serangga sangat gemar menyerang buah-buahan lain seperti jambu, tembikai, epal dan sebagainya.
Sumber www.thenakedscientist.com

Kimia Dalam Bioteknologi

 

 
rauzah_hashim
Oleh : PROF DR. RAUZAH HASHIM
Jabatan Kimia, Universiti Malaya [
http://www.kimia.um.edu.my/]
Hukum-hukum fizik terpenting yang mendasari teori matematik untuk memahami sebahagian besar ilmu fizik dan kesemua ilmu kimia telah diketahui selengkapnya; namun kesukaran hanyalah kerana penggunaan tepat terhadap hukum tersebut akan menerbitkan banyak persamaan matematik yang terlalu sukar untuk diselesaikan, demikian kata saintis fizik, Paul Dirac pada 1929.
Semasa menulis hal ini pada 1929, Dirac sama sekali tidak tahu tentang komputer. Malah komputer hanya dicipta pada tahun lima puluhan dan ketika itu tiada siapa pun menjangka perkembangan pesatnya. Kini apa yang disebut kesukaran oleh Dirac bukan lagi kesukaran.
Persamaan yang sukar akibat daripada penggunaan teori kuantum terhadap masalah kimia atau biologi yang sangat kompleks kini boleh diselesaikan dalam masa beberapa jam dengan menggunakan kaedah kimia komputasional (computational chemistry) dengan bantuan perisian dan perkakasan komputer canggih hari ini.
Pada tahun 1998 Hadiah Nobel kimia dianugerahkan kepada Walter Kohn dan John Pople kerana menghargai sumbangan mereka dalam kimia komputasional yang seterusnya mengasas teknologi molekul (molecular technology) yang kini sama pentingnya dengan bioteknologi.
Seperti bioteknologi, teknologi molekul memerlukan ChemInformatics. Keutamaan bidang sains dan teknologi molekul dapat diperhatikan daripada jumlah koleksi buku dan jurnal terbitan terkini dalam bidang tersebut yang melebihi bidang sains yang lain.
Chemi
Teknologi molekul sebenarnya adalah teknologi yang dicipta dengan memanipulasikan molekul dan atom pada skala nano (nano scale).Kini teknologi molekul lebih dikenali dengan panggilan nanoteknologi. Nanoteknologi merangkumi bioteknologi dan teknologi molekul bahan.
ChemInformatics atau molecular informatics adalah maklumat tentang molekul.Maklumat ini terjana daripada pemahaman terhadap interaksi molekul, atom, elektron dan zarah sub-atom lain. Pemahaman boleh diperoleh dengan dua cara.Pertamanya melalui kaedah kimia komputasional sama ada melalui teori kuantum yang disebut oleh Dirac; mekanik statistik untuk himpunan molekul di mana sifat termodinamiknya boleh dikira atau mekanik molekul berasaskan teori Newton (Newtonian mechanics).
Setelah hampir 80 tahun ia berkembang, pelbagai perisian canggih dan mudah guna terbit daripada aktiviti ini termasuklah, Gaussian, Amber, MOPAC, GROMOS dan sebagainya.Secara umum kimia komputasional melibatkan penggunaan teknik menghitung dan numerik untuk menyelesaikan masalah kimia yang kompleks dan besar (dari segi saiz molekulnya) dengan menggunakan komputer berkuasa tinggi.
54070
Perkembangan kimia komputasional bukan sahaja mengambil kesempatan daripada perkembangan pesat dalam kuasa komputer (cip cpu), media simpanan (disk space), hubungan dan komunikasi (interconnectivity) termasuk perhitungan selari (parallel computing) dan teknologi GRID, tetapi juga daripada perkembangan dalam algoritma komputer dan teknik numerik seperti algoritma genetik.
Cara kedua pemahaman ini diperoleh adalah daripada kaedah data extrapolasi dan interpolasi dari himpunan maklumat tersedia ada yang ekstensif (atau lebih tepat data-mining) tentang sifat-sifat molekul, iaitu struktur kimia atau sifat fizik termasuk kelakuannya (properties).
Iaitu daripada maklumat terhimpun kita terbitkan maklumat baru yang lain. Kini himpunan maklumat kimia terdapat dalam pelbagai pangkalan data kimia untuk pelbagai kegunaan.
Contohnya sesetengah pangkalan data kimia berkebolehan mengaitkan pelbagai sifat fizik dengan struktur molekul, kita boleh membuat ramalan terhadap sesuatu kelakuan molekul yang baru.Kaedah ini lebih dikenali dengan panggilan Quantitative Structure Property Relationship (QSPR).
ChemInformatics merangkumi penghitungan kimia, data simpanan dan sistem retrieval, menjana satu bidang ilmunya tersendiri dan khusus dengan menggunakan komputer untuk menerbitkan informasi yang mengandungi maklumat daripada eksperimen terhadap struktur, sifat (properties) dan tindak balas bahan kimia.
Melalui ChemInformatiks ramalan terhadap kelakuan molekul boleh dibuat. Maka ia sangat berguna terutama apabila maklumat tidak boleh diperoleh dari eksperimen atau terlalu sukar kerana keadaan memperolehnya tidak boleh dicapai.

Dadah : Menggagalkan Fungsi Otak

Drug

Oleh: Nazatul Norasikin Md Yaacob
Mahasiswi Pembangunan Manusia, UKM Bangi
Isu dadah merupakan isu yang tidak asing lagi dalam negara kita di mana impaknya yang mampu melumpuhkan sesebuah negara. Malahan dadah juga diklasifikasikan sebagai musuh nombor satu negara pada abad ini di mana kerajaan juga telah mengisytiharkan bahawa dadah ini harus diperangi hingga ke akar umbi. Namun, apakah sebenarnya dadah?
Dadah atau “drug” adalah berkaitan dengan apa-apa juga bahan kimia iaitu samada asli atau tiruan, dimana ianya dimasukkan kedalam tubuh badan secara disuntik, dihidu, dihisap ataupun dimakan. Disamping itu juga, bahan kimia psikoaktif tersebut memberi kesan yang paling ketara ke atas sistem saraf pusat terutamanya otak dan saraf tunjang seperti menyebabkan seseorang penagih dalam keadaan khayal, ketagihan dan mengalami gangguan tingkahlaku. Selain itu, boleh mendatangkan kesan-kesan buruk dan bahaya ke atas kesihatan dan juga fungsi sosial seseorang dimana boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang atau organisma dari segi fizikal atau mental.
Jenis-jenis dadah yang dikenali umum adalah terdiri daripada heroin, morfin, syabu dan ganja. Namun, mengikut PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) sebenarnya dadah ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti opiat, kanabis, depresen, stimulan, halusinogen, inhalant dan prekursor. Pada setiap jenis dadah ini pula terdiri daripada jenis-jenisnya yang tersendiri. Contohnya jenis opiat terdiri daripada heroin, morfin, candu dan kodein manakala kanabis terdiri daripada ganja dan hashish. Malah, sesetengah ubat-ubatan jika tidak digunakan mengikut peraturan dan sukatan yang betul boleh memberi kesan negatif yang sama seperti dadah. Contohnya morfin dan sebatian terbitan daripadanya yang banyak digunakan sebagai ubat penghilang kesakitan semasa merawat kecederaan yang serius.
Dalam era millenium ini, dadah dilihat menguasai semua peringkat umur dan latar belakang pendidikan. Antara percaya atau tidak penyalahgunaan dadah bukan sahaja dikalangan mereka yang berusia 25 tahun hingga 40 tahun, penganggur dan orang yang kurang pendidikan malahan melibatkan golongan berpendidikan tinggi dan ahli-ahli profesional. Golongan penagih ini terdiri dalam setiap lapisan masyarakat iaitu tanpa mengira usia sedari belasan tahun sehinggalah kepada warga emas. Statistik daripada AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) mendapati sepanjang tempoh 8 bulan 2008, golongan belia yang berumur di antara 19-39 tahun masih lagi merupakan majoriti penagih yang dikesan iaitu seramai 6,054 orang (0.034% daripada golongan umur unjuran penduduk Malaysia yang berusia 15-64 tahun (17,620,300 orang). Ini menunjukkan golongan belia merupakan yang tertinggi terdedah dengan risiko penagihan dadah ini.
Antara punca-punca seseorang itu menagih adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya, maka tidak hairanlah golongan belia yang paling ramai terjebak dalam lembah dadah ini. Ditambah pula dengan keinginan untuk mencuba sesuatu perkara yang baru. Keinginan ini akan menjadi teruk sekiranya seseorang itu bergaul dengan penagih kerana mereka boleh terpengaruh disamping dengan mudah untuk mereka mendapatkan bekalan dadah. Seterusnya ialah untuk mencari keseronokkan. Masa di usia remajalah merupakan zaman yang sungguh manis dan penuh dengan keseronokan. Justeru, pada usia ini kebanyakan remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang paling digemari dan hanya berbentuk keseronokan yang sementara sahaja termasuklah dengan menagih dadah. Sebelum melakukan sesuatu kita seharusnya berfikir panjang akan akibatnya kerana ” Fikir dahulu pendapatan, Sesal kemudian tidak berguna lagi”. Di samping itu, tekanan yang dialami akibat masalah peribadi, keluarga dan kerja turut mendorong seseorang itu untuk terjerumus ke dalam lembah dadah ini. Apabila tekanan emosi keterlaluan, kemurungan berlaku hingga mereka tidak mampu lagi berdepan dengan tekanan itu. Akhirnya dadah menjadi teman setia yang dapat membolehkan mereka lupa kepada tekanan yang dihadapi.
Penyalahgunaan dadah yang berterusan ini boleh mendatangkan kerosakan kepada diri terutamanya dari segi kesihatan (penyakit), keluarga, masyarakat dan negara. Kesan terhadap penagih jelas dapat dilihat dari segi fizikal iaitu penagih menjadi kurus, lemah tenaga, khayal, ganas, rasa ketagihan yang berlebihan sehingga berkemungkinan boleh membawa maut. Manakala dari segi kesihatan ialah penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan yang kotor terutamanya boleh mengalami kerosakan pada otak, hati, paru-paru, tulang dan sistem imun. Kuman yang berjangkit dari jarum yang tidak steril itu kadangkala boleh menjangkiti otak dan menyebabkan meningitis serta otak bernanah. Melalui perkongsian jarum ini juga menyebabkan virus hepatitis boleh merebak sehingga boleh menyebabkan kerosakan hati. Kebanyakan penagih dadah akan mula menyuntik dadah secara subkutanus (di bawah kulit) yang boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit atau kudis. Apabila dadah telah disuntik ke dalam vena ( salur darah ), parut boleh terbentuk pada tisu yang terlibat dan menjadikan salur venanya tersumbat. Seterusnya masalah dengan sistem imun pula akan muncul. Oleh kerana HIV (Human Immunodeficiency Virus) boleh merebak melalui perkongsian jarum, maka tidak hairanlah ramai penagih dadah akan dijangkiti penyakit AIDS.
Selain itu, kesan kepada masyarakat ialah suasana hidup dalam masyarakat tidak lagi tenteram kerana terdapatnya kejadian mencuri, merompak dan lain-lain yang dilakukan oleh penagih-penagih yang memerlukan wang untuk membeli dadah. Keadaan seperti ini sudah tentu menggangu keamanan, ketenteraman, ketertiban peraturan dan undang-undang negara. Perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat boleh terjejas akibat penglibatan anak muda dengan dadah. Di samping itu juga, persengketaan dan perselisihan faham antara sebuah keluarga dengan keluarga yang lain boleh terjadi akibat penglibatan anak-anak dengan dadah ini. Negara juga akan menerima impak di atas perbuatan rakyatnya sendiri iaitu terpaksa menanggung beban kewangan bagi membina pusat-pusat serenti dan juga menyebabkan negara menjadi mundur.
Tindakan  pencegahan dadah yang berkesan memerlukan penglibatan daripada semua golongan masyarakat. Masyarakat harus dididik  sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh bak kata pepatah ”Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.  Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam  hati  sanubari  anak-anak terutamanya, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita  harus sedar bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda untuk  mewujudkan  satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Kimia Pusat Segala Sains

 

2545682

Oleh : PROF DR. RAUZAH HASHIM
Jabatan Kimia, Universiti Malaya [
http://www.kimia.um.edu.my/]
Dalam tamadun manusia sekarang – pergi ke sekolah adalah penting kerana di sana tempat melatih dan membina sahsiah seseorang insan untuk menjadi manusia terpelajar atau sekurang-kurangnya berpelajaran.
Terpelajar kerana mereka mempunyai ilmu pengetahuan tertinggi (terbanyak atau terluas) yang memperluaskan lagi ruang pengetahuan. Mereka menjadi serikandi (master) ilmu tersebut. Seseorang berpelajaran adalah mereka yang mempunyai ilmu yang membantu mereka dalam kehidupan seharian. Pengetahuan seseorang individu seharusnya menyeluruh, tidak dogmatik dan membolehkannya berfikiran kritikal.
Thomas Friedman dalam bukunya Lexus and the Olive Tree, mengulas bahawa untuk mempunyai daya saingan yang hebat dalam era globalisasi, seseorang itu mestilah mempunyai pengetahuan menyeluruh atau menjadi seorang generalist (menyeluruh).
Tiga ilmu yang tersangat penting dan menjadi tunjang utama ialah ilmu matematik, pengetahuan tentang sejarah dan kebolehan berkomunikasi (oral dan penulisan).
Tidak kira untuk siapa, matematik melengkapkan seseorang dengan daya fikiran numerik iaitu memberinya deria berangka (number sense). Tanpa asas numerik semua penilaian hanya sekadar agak-agak atau lebih kurang.
Matematik memberi kaedah kuantitatif yang lebih jelas dan bermakna. Kuasa sedemikian memberi ramalan yang lebih tepat justeru boleh digunakan untuk membuat pilihan yang bijaksana. Inilah kunci kejayaan masyarakat Barat.
Dalam buku Life by Numbers, Keith Devlin menghuraikan kaedah matematik yang digunakan untuk pelbagai aktiviti kehidupan seharian, daripada membuat filem di Holywood sehinggalah untuk berjaya dalam kejohanan Olimpik seperti luncur ais. (Lihat juga buku The Number Sense yang ditulis oleh Stanislas Dehaene).
Matematik menjadi lebih utama kepada saintis. Ilmu sains adalah kaedah mengkaji fenomena alam semula jadi secara rasional. Matematik adalah asas sains yang menjadi alat untuk mengupas ilmu alam. Di zaman moden, matematik dan sains saling bergandingan dan sangat mempengaruhi hidup manusia dan kemanusiaan.
Walaupun sains dan matematik amat penting dari segi memberi pemahaman, tetapi keputusan yang diperoleh daripada pemahaman sains dan matematik biasanya tidak memihak. Untuk memanfaatkan sains dan matematik, seseorang itu harus membuat keputusan yang betul dari segi sosial dan budaya masyarakat tersebut.
Maka pengetahuan tentang sejarah menjadi amat penting demi membantu membuat pemilihan yang arif. Pengetahuan sejarah tidak terhad kepada aspek antropologi tetapi lebih menyeluruh. Ini bermakna apa yang penting adalah pengetahuan tentang latar belakang sesuatu isu.
Komunikasi berkesan membolehkan seseorang menyampai ideanya supaya difahami orang lain secara logikal dan rasional. Sahsiah orang berpengetahuan dan terpelajar mesti lengkap dengan kebolehan berkomunikasi sama ada lisan (oral) mahupun penulisan.
Dewasa ini sama ada suka atau tidak, kita terpaksa akur bahawa bahasa utama digunakan di seluruh dunia ialah bahasa Inggeris yang wajar dikuasai tanpa mengabaikan bahasa ibunda.
Yang sebenarnya banyak lagi kebolehan dan kemahiran yang perlu dikuasai oleh orang terpelajar. Pengetahuan ilmiah, pengkhususan cetek dan terpencil tidak begitu berguna. Sistem pelajaran tinggi di luar negara menggalakkan graduan mengambil dwiijazah. Ini sangat berguna kerana pengetahuan termoden adalah pelbagai disiplin ilmu.
Kurikulum di universiti biasa mengandungi komponen kursus dipanggil Transferable Skill yang melatih seseorang bukan sahaja kebolehan berfikir tetapi juga kebolehan menjadikan apa yang difikirkan itu kepada realiti.
Beberapa komponen Transferable Skill yang ditawarkan kepada penuntut ijazah tinggi yang menjalankan penyelidikan termasuklah kemahiran komunikasi dan persembahan, sains intergriti dan penyelidikan, sains dan media, sains dan etika, pengenalan pemikiran, statistik, penyelidikan komersialisasi, harta intelek, visual dan komputer grafik, teknik penulisan dan sebagainya.
Di Barat program pengkhususan sains dwiijazah biasanya dijalankan dalam jangka masa sekurang-kurangnya empat tahun. Malaysia harus mencontohi hal serupa, tetapi apa yang dilihat sejak beberapa tahun lalu program sarjana muda sains dipendekkan daripada empat ke hanya tiga tahun.
Sebab-sebab yang diberikan termasuklah untuk mengeluarkan lebih ramai graduan bagi menampung pasaran pekerjaan dan pada umur mereka yang lebih muda. Sekarang pula terdengar ada program jalan pantas untuk memperoleh ijazah dalam jangka masa pendek di IPTS bagi menjimatkan kos pengajian. Ini menggusarkan sekiranya diguna untuk memupuk kepakaran saintifik yang tidak ada jalan pintas.
Interaksi di antara bidang-bidang sains boleh dilihat dengan menggunakan kimia sebagai contoh. Bidang kimia bukan sekadar membuat ubat. Ia sangat luas, termasuk yang tradisional seperti kimia organik, fizikal dan tak-organik dan ia sering disebut the central science iaitu pusat kepada semua sains.
Interaksi dan pertindihan kimia dengan disiplin sains lain telah lama berlaku seperti bidang biokimia (kimia dan biologi), kimia fizik dan kejuruteraan kimia. Kini kimia menjadi lebih penting dalam pelbagai disiplin kerana ia memberi pemahaman terhadap molekul dan atom iaitu asas bagi semua jirim.
Pada asasnya ilmu kimia menerokai pelbagai perihal atom dan molekul. Contohnya, struktur fizik atom dan molekul boleh dielusidasikan dengan lengkap menggunakan kaedah spektroskopi (NMR, IR, MS, UV dan sebagainya).
Manakala perwakilan fizikal atom dan molekul dari segi visualisasi kini boleh dilakukan menggunakan pelbagai model daripada yang termudah seperti bola dan batang (ball and stick model), model CPK hinggalah kepada pelbagai model yang tercanggih terbitan dari teori kuantum. Kita sekarang mempunyai kaedah untuk melihat atom dan molekul.

Refleksi -Camstudio

Camstudio merupakan satu perisian yang membolehkan kita merakam segala aktiviti di skrin komputer. Selain merakam visual, ia juga mampu merekod audio sama ada melalui mikrofon ataupun speaker komputer. Camstudio juga amat sesuai digunakan untuk pembelajaran di dalam kelas memandangkan cara untuk menggunakan agak mudah, tetapi mampu memberikan impak yang besar dalam proses pengajaran.

Refleksi- Simulation


Simulation merupakan salah satu teknik yang baru saya pelajari di dalam kelas ICT in Chemistry. Simulation dapat digunakan untuk tujuan pengajaran dan perbentangan kerana ia mampu menjelaskan mengenai sesuatu perkara dengan lebih berkesan. Mengaplikasikan simulation dalam proses pengajaran adalah satu langkah bijak yang mampu menarik fokus para pelajar untuk satu tempoh yang lebih panjang. Melalui simulation, pelajar akan dapat melihat animasi-animasi yang digunakan untuk menggambarkan suatu konsep, eksperimen serta perubahan yang berlaku dalam sesuatu tindak balas. Penggunaan simulation di dalam proses pengajaran juga adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk menerapkan penggunaan ICT di dalam bilik darjah.

Refleksi -Google doc


Google doc merupakan salah satu kaedah yang membolehkan kita memuat naik sesuatu dokumen untuk dikongsi. Ini termasuklah bentuk dokumen yang sering kita gunakan seperti microsoft word dan power point. Google Doc dapat digunakan sebagai salah satu alternatif untuk menyimpan dokumen-dokumen penting. Untuk mendapatkan lebih maklumat berhubung Google Doc, sila layari:
https://docs.google.com/#all